Khamis, 18 Oktober 2012

Pelancaran Futsal Harian Metro 2012


Kuala Lumpur – Kini berusia tujuh tahun, Karnival Futsal Harian Metro terus mendapat sokongan padu peminat sukan futsal tempatan apatah lagi habuannya kini makin lumayan.
Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar berkata, sejak diperkenal enam tahun lalu, karnival ini dinantikan pembaca setia Harian Metro bersandarkan perubahan yang dibawa penganjur dari masa ke semasa.

“Tahun ini, seperti yang dimaklumkan, kami membawa perubahan dalam bentuk ganjaran hadiah wang tunai dengan hadiah keseluruhan lumayan menanti mereka di peringkat Zon dan Grand Final.
“Peningkatan hadiah tidak hanya terhad kepada Karnival Futsal kerana kami turut menaikkan ganjaran bagi Karnival Bola Jaring yang buat kali pertama mempraktikkan konsep sama seperti futsal dengan empat pasukan teratas setiap zon akan beraksi di Grand Final,” katanya pada Majlis Pelancaran Karnival Futsal Harian Metro dan Bola Jaring, semalam. Turut mengiringi, Pengerusi Karnival serta Pengarang Sukan Harian Metro, Mohd Radzi Wahab.
Hadir sama, Ketua Hal Ehwal Korporat Kumpulan, Kumpulan Ambank, Syed Anuar Syed Ali, Pengurus Besar Pemasaran Yeo’s, Vincent Chui, Pengurus Besar Asia Pasific Lancast, Yau Chee Keong dan Ketua Pegawai Ekskutif Sani Ekspress Sdn Bhd, Mejar (B) Abu Bakar Mohammad.
“Kami juga berbesar hati kerana karnival yang memasuki edisi ketujuh ini sekali lagi mendapat kerjasama Kumpulan AmBank selaku penaja utama buat musim kedua berturut-turut.” Baginya, kejohanan ini tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa kehadiran penaja, Lancast untuk pakaian rasmi, Yeo’s bagi minuman rasmi serta Sani United Bhd (Sani Express) yang menyediakan pengangkutan urusetia.

Musim ini, juara peringkat zon akan membawa pulang wang tunai lebih lumayan, iaitu penambahan RM1,000 bagi setiap kategori dengan juara Terbuka Lelaki menerima RM6,000 manakala Terbuka Wanita RM4,500 dan Lelaki Bawah 17 RM3,500. Hadiah lumayan juga menanti juara Grand Final iaitu RM20,000 diperuntukkan untuk Terbuka Lelaki, RM12,000 (Terbuka Wanita) dan RM10,000 (Lelaki Bawah 17).
Peningkatan hadiah ini tidak terhad kepada Karnival Futsal saja malah peserta Karnival Bola Jaring turut menerima habuan lumayan.
Bagi peringkat zon, juara membawa pulang RM2,000, naib juara RM1,000 dan ketiga dan keempat masing-masing RM500. Semuanya mempunyai peningkatan berbanding tahun lalu.
Justeru, Mustapa berkata, penganjur meletakkan sasaran peningkatan penyertaan di zon berikutnya selepas Zon Tengah membuka tirai Sabtu dan Ahad ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan