Jumaat, 21 September 2012


PKNS ungguli Liga Futsal Kebangsaan


SELANGOR PKNS FC harus diangkat sebagai kuasa futsal negara selepas pasu­kan lelaki dan wanitanya menggondol kejuaraan berganda dalam aksi final Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM 2011-2012 di Stadium Putra, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil.
Dalam aksi yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Arena 801, PKNS membelasah MPSJ 7-2 dalam final kategori lelaki, manakala pasu­kan wanita PKNS mengejutkan juara bertahan, Selangor, hasil jaringan Hanis Farhana Shamsul Azizan pada minit ke-10.
Ketua jurulatih PKNS, Chiew Chun Yong percaya persiapan awal secara serius sejak setahun lalu membawa hasil yang memberangsangkan.
“Syabas kepada pemain kedua-dua kategori kerana berjaya mengharumkan nama PKNS,” kata bekas pemain kebangsaan itu.
Selaku johan, PKNS membawa pulang wang tunai RM40,000 berserta trofi kejohanan dan wang tunai RM10,000 selaku johan Kumpulan A dalam pusingan awal sebelum ini.
Jumlah ganjaran yang sama turut dibawa pulang pasukan wanita mereka sementara MPSJ FC (lelaki) dan Selangor (wanita) masing-masing memperoleh wang tunai RM20,000 selaku naib juara kumpulan.
Kejayaan berganda PKNS menjadi kesudahan menarik sebelum Liga Futsal Kebangsaan dijenamakan dengan nafas baru pada September nanti.
Tujuh gol pasukan bimbingan Jamhuri Zainudin itu disumbangkan oleh Qaiser Heshaam Abdul Kadir (minit ke-19), Mohamad Fadzil Abdul Karim (minit ke-20), Mohamad Izuwan Hayat (minit ke-23), Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin (minit ke-24 dan 29), Muizzuddin Mohd Haris (minit ke-25 dan 38) manakala dua gol MPSJ FC dihasilkan oleh Badri Daud pada minit ke-27 dan Amar Ashraf Abu Bakar (minit ke-33).
Pasukan wanita PKNS pula mencipta kejutan menewaskan juara bertahan Selangor menerusi jaringan tunggal Hanis Farhana Shamsul Azizan pada minit ke-10.
Kejayaan tersebut membolehkan kedua-dua pasukan masing-masing membawa pulang wang tunai RM40,000 dan piala pusingan yang disampaikan oleh Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin.
Pasukan MPSJ FC dan Selangor yang muncul naib juara pula masing-masing meraih wang tunai RM20,000 selaku naib juara.
Lebih manis bagi PKNS FC, Hanis Farhana turut dinobatkan selaku pemain wanita terbaik perlawanan akhir dan pemain muda berpotensi untuk membolehkan beliau membawa pulang wang tunai RM2,000.
Pemain lelakinya, Muizzuddin Mohd Haris turut muncul sebagai pemain terbaik.Pengurus Pasukan PKNS FC, Sairullizam Siedin berkata kejayaan tersebut merupakan pencapaian terbaik pasukan tersebut sejak menyertai pertandingan pada 2009.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada para pemain yang memberikan komitmen penuh bagi memastikan kita berjaya merangkul kejuaraan buat kali pertama kerana pencapaian terbaik kita sebelum ini ialah mara ke suku akhir tahun lepas,” katanya.
Beliau turut meletakkan harapan agar kedua-dua skuad lelaki dan wanita pasukan tersebut dapat mengekalkan kejuaraan pada kejohanan akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan